Norzailina Nordin
Norzailina Nordin
Novel ini merupakan satu percubaan untuk menjelajah masalah dan pengalaman merentas budaya, bukan di kalangan penduduk Malaysia tetapi di antara orang Melayu dengan orang British. Yang lebih menarik peristiwa-peristiwanya berlaku di England pada Zaman Victorian dan negeri-negeri di Tanah Melayu iaitu melibatkan Pulau Pinang dan Perlis, ketika British masih dalam proses meluaskan pengaruhnya di kawasan ini. Usaha perintis ini memberi harapan bahawa bidang novel di negara kita semakin berani menjalankan eksperimen supaya para pembaca akan terdedah kepada proses globalisasi. Sering kali novel lebih berjaya memperkaya pengalaman seseorang daripada buku sejarah kerana novel menembusi hati sanubari manusia, manakala sejarah yang biasa disampaikan secara amoral, terpencil dan tanpa emosi tidak dapat mewujudkan perspektif yang real. Mudah-mudahan Norzailina Nordin akan memperkenalkan pula tema-tema lain yang akan membawa pembacanya ke dunia baru – lain daripada yang lazim mereka temui.